News

Salur 5 Juta

Published: Apr 16th, 2019

KUALA Lumpur: Perbadanan Nasional Berhad (PNS) yakin penganjuran program Franchise International Malaysia (FIM) 2019 terus menyumbang kepada perkembangan industri francais negara, sekali gus memberi peluang kepada usahawan berpotensi melabur dan bekerjasama dengan PNS.

Ketua Pegawai Operasi PNS, Azlina Juliani Abd Jalil berkata, FIM 2019 menjadi platform untuk mempromosikan peranan, produk dan perkhidmatan PNS dengan memberi pendedahan kepada usahawan melalui maklumat dan khidmat nasihat.

Selain itu, katanya, ia juga membuka peluang kepada usahawan berpotensi mengembangkan perniagaan mereka melalui jaringan kerjasama strategik PNS dengan usahawan francais sedia ada.

“Untuk penyertaan kali ini, PNS menyasarkan pembiayaan RM5 juta dalam membantu dan melahirkan usahawan baharu dalam industri francais.

“Sehingga kini, PNS menyalurkan pembiayaan berjumlah RM269.5 juta dan lebih 1,000 usahawan francais menerima manfaat daripada bantuan terbabit.

“Lebih kurang 12 francaisor antarabangsa dari seluruh dunia akan mengambil bahagian dalam FIM 2019,” katanya.

Menurutnya, julung kali diadakan sesi Francais Chat membabitkan selebriti tanah air yang menceburi bidang perniagaan dan ahli perniagaan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman.

Program ini akan disiarkan secara live di Facebook dan Instagram PNS membabitkan sembilan sesi.

Beliau berkata, menerusi usaha ini, pihaknya berharap ramai usahawan francais mengenali PNS dan membentuk kerjasama baharu antara PNS bersama penggiat francais dari dalam dan luar negara bagi berkongsi pengalaman, ilmu pengetahuan dan kepakaran bagi menjadikan Malaysia hab francais di Asia Tenggara.

“Model francais dilihat pilihan terbaik bagi mereka yang mahu menceburi perniagaan kerana proses yang sistematik dan ada penyediaan manual perniagaan francaisor.

“Industri ini berkembang pesat dan dijangka memberi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM35 bilion menjelang 2020 berbanding RM30.3 bilion pada 2018,” katanya. - Harian Metro