News

PNS Mahu Bawa Masuk Lima Francaisor Induk Menjelang 2020

Published: Apr 16th, 2019

KUALA LUMPUR: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) bercadang untuk lebih agresif pada tahun ini di bawah pelan lima tahunnya dengan berhasrat untuk menjenamakan semula dirinya dalam perniagaan francais.

Pelan tindakan itu akan menekankan terutamanya berkaitan kewangan, menjadi pelabur atau pemegang ekuiti dan membawa masuk lebih banyak perniagaan francais ke dalam Malaysia.

Dengan peruntukan sebanyak RM110 juta pada tahun ini, PNS berhasrat membawa masuk sekurang-kurangnya lima francaisor induk ke Malaysia sebagai sebahagian daripada sasarannya menjana RM35 bilion sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2020.

Ini akan meningkatkan sumbangannya kepada KDNK negara dari 3.4 peratus atau RM27.7 bilion pada 2017.

Ketua Pegawai Operasi PNS, Azlina Juliani Abd Jalil, berkata pihaknya telah menyerahkan pelan tindakan lima tahun itu kepada Jabatan Perdana Menteri.

"Bermula dari tahun ini dan seterusnya, kami merancang untuk melaksanakan strategi baharu dan memposisikan semula diri bagi berkembang selaras dengan pertumbuhan industri sambil kekal memberi tumpuan mempercepatkan perniagaan francais.

"Daripada jumlah peruntukan sebanyak RM110 juta, RM35 juta adalah untuk pembangunan francais, RM65 juta untuk pembangunan keusahawanan perusahaan sederhana dan RM10 juta untuk peruntukan ruang runcit.

"Kami kini menyasar untuk menjadi agresif dan menjenamakan semula diri sebagai pemain francais utama dengan matlamat membawa lebih banyak francais ke dalam negara, sekali gus meningkatkan kesan tempias perniagaan sedemikian kepada ekonomi," katanya kepada Bisnes NSTP dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

PNS ditubuhkan pada November 1969 sebagai sebuah syarikat milik penuh kerajaan bertujuan melaksanakan resolusi di Kongres Ekonomi Bumiputera Kedua.

Pada November 2018, PNS mempunyai kira-kira 56 kedai Gloria Jeans Coffee di bawah perniagaan francaisnya di seluruh Malaysia, Myanmar, Indonesia dan Brunei sejak 12 tahun yang lalu.

Ditanya mengenai hala tuju PNS di bawah kerajaan baharu, Juliani berkata pihaknya teleh mengemukakan satu cadangan kepada Jabatan Perdana Menteri dan ia telah diluluskan.

"Dengan kelulusan itu, kami kini mempunyai pelan lima tahun mengenai bagaimana untuk memberi tumpuan dan mengembangkan perniagaan francais dengan tujuan untuk mewujudkan lebih banyak perniagaan yang kemudiannya akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan menyumbang kepada KDNK negara.

"Kami merancang untuk melakukan ini dengan memperluas kumpulan pemegang francais, menyokong ekosistem francais dan pada masa sama mengenal pasti segmen pasaran yang kurang diberi perhatian namun mempunyai potensi peluang francais.

"Kami juga merancang untuk mengambil kesempatan daripada perkhidmatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan memanfaatkannya untuk mewujudkan lebih ramai usahawan dan peluang pekerjaan bagi ekonomi," katanya. -Berita Harian